Home » Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia : Jerebu dan Kesan Kepada Kesihatan…

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia : Jerebu dan Kesan Kepada Kesihatan…

Sehingga jam 3 petang pada 9 September 2015, hanya satu kawasan iaitu Samarahan merekodkan bacaan IPU tidak sihat (103). Sebelum ini beberapa kawasan seperti Bandaraya Melaka, Bukit Rambai, Nilai, Port Dickson, Seremban, Muar, Banting dan Batu Muda, Kuala Lumpur pernah merekodkan bacaan IPU tidak sihat tetapi tidak melebihi IPU 140 pada 7 dan 8 September 2015.

Kementerian Kesihatan Malaysia terus memantau keadaan jerebu ini melalui kedatangan pesakit ke klinik terpilih iaitu tujuh belas Klinik Kesihatan di kawasan yang dilanda jerebu. Hasil pemantauan di klinik-klinik tersebut didapati tidak terdapat peningkatan pesakit yang datang dengan penyakit yang berkaitan dengan jerebu pada minggu ke-34 (23 – 29 Ogos 2015), berbanding minggu ke-35 (30 Ogos – 5 September 2015) semasa kejadian jerebu dilaporkan seperti jangkitan saluran pernafasan (5070 kes pada minggu ke-35 berbanding 6502 kes pada minggu ke-34), asma (736 kes pada minggu ke-35 berbanding 837 kes pada minggu ke-34) dankonjuktivitis (736 kes pada minggu ke-35 berbanding 837 kes padaminggu ke-34).

Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu termasuklah:

a. Mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.

b. Selain daripada itu, sila pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman.

c. Banyakkan minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.

d. Jika mampu, pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) di rumah. Penapis udara yang berkecekapan yang lebih tinggi adalah lebih baik kerana ia boleh menghalang kebanyakan partikel halus yang berkaitan dengan asap dan seterusnya boleh mengurangkan jumlah pencemaran udara dari luar rumah masuk ke dalam rumah.

e. Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan bertambah teruk.

f. Kementerian Kesihatan Malaysia juga ingin menasihatkan orang awam supaya peka dengan keadaan semasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan laman sesawang mengenai bacaan IPU. Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau keadaan jerebu dan kesannya kepada kesihatan.

g. Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my (info kesihatan).

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
9 September 2015

Sumber : MoH